Bagaimana memilih HRIS untuk organisasi?. Saya lihat terdapat banyak perisian di pasaran kini yang setiap satunya mempunyai kelebihan serta tawaran tertentu. Perisian yang canggih semestinyalah perisian yang bagus. Jika kita memilih perisian yang canggih dan baru, adakah ia menepati kehendak organisasi?. Adakah ia bersesuaian dengan saiz dan fungsi organisasi?. Oleh yang demikian, mari kita selidik faktor-faktor yang perlu diambil kira bagi memastikan bahawa perisian HRIS yang anda pilih berkesan dan memenuhi keperluan anda untuk penggunaan sekarang mahu pun di masa hadapan.
· Sokongan untuk tenaga kerja global
Sumber manusia dan sumber tenaga kerja adalah berbeza di setiap negara. Ketika memilih perisian HRIS anda perlu tahu adakah perisian tersebut mempunyai kemampuan untuk menyokong aktiviti tenaga kerja menjangkaui negara. Ini boleh dilihat melalui terdapatnya ciri-ciri seperti penukaran mata wang untuk penggajian serta kemudahan akan pematuhan terhadap undang-undang tenaga kerja antarabangsa dan tempatan.
· Integrasi dengan sistem gaji (payroll)
Perlu dilihat, adakah organisasi anda menggunakan sistem gaji atau organisasi anda mengupah pihak ketiga untuk melaksanakan sistem gaji ini. Sekiranya sistem gaji ada digunakan, maka ciri HRIS seterusnya yang perlu dipilih perlu mempunyai sistem gaji. Adalah sangat penting mempunyai pengurusan sumber manusia yang terbuka dan fleksibel, menyediakan integrasi dan perkongsian data dengan sistem gaji. Dengan ini, anda tidak perlu membuat beberapa kali salinan maklumat selain ianya dapat mengurangkan masa yang diperlukan untuk penyiapan pembayaran gaji.
· Perkhidmatan layan diri kakitangan
Adakah wujud keperluan perkhidmatan layan diri oleh kakitangan organisasi anda dalam penggunaan HRIS anda kelak?. Ini kerana di sesetengah organisasi pihak sumber manusianya sangat dibebani dengan pelbagai soalan dan permintaan. Terdapat beberapa HRIS menawarkan ciri-ciri dan kemampuan untuk menyokong perkhidmatan layan diri kakitangan ini. Perkhidmatan ini membolehkan organisasi memuatnaik maklumat-maklumat penting berkaitan sumber manusia seperti polisi organisasi dan dasar terbaru yang mana ia akan mudah diakses melalui web sehingga kakitangan boleh melakukan sendiri untuk mendapatkan keperluan mereka pada bila-bila masa. Selain itu, perisian HRIS tertentu juga mempunyai ciri fungsian rutin sumber manusia seperti permohonan cuti rehat/ cuti sakit yang membolehkan kakitangan untuk mengisi transaksi yang berkaitan secara dalam talian tanpa perlu bantuan sumber manusia.
· Keselamatan
Setiap Jabatan Sumber Manusia di organisasi mementingkan kerahsiaan maklumat peribadi kakitangannya seperti nombor kad pengenalan, keputusan ujian perubatan, pemeriksaan latar belakang, nombor akaun bank, dan banyak lagi. Oleh yang demikian, adalah penting untuk organisasi memilih perisian HRIS yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang canggih seperti perlindungan kata laluan, akses masuk melalui pengenalan identiti, dan firewalls untuk aplikasi web. Ciri-ciri ini akan membantu organisasi-organisasi memastikan pematuhan terhadap seluruh manual privasi dan kerahsiaan.
No comments:
Post a Comment